Oleh Faizal Ezzany, suara keadilan
Khalid yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor menegaskan perjuangan Pakatan Rakyat pada PRK ini bukan setakat membela nasib rakyat Selangor tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan.
"Kita berjuang sekarang bukan hanya untuk rakyat negeri Selangor tetapi untuk negara kita Malaysia yang memerlukan pembelaan dari terus diperintah oleh pemimpin yang zalim""Saya telah bekerja lebih 750 hari dan setiap hari saya bertanya adakah saya sudah membuat secukupnya apa yang saya perlu lakukan untuk rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat sebelum ini sehingga saya berada kedudukan sekarang. Saya perlu bekerja keras untuk rakyat Selangor kerana tanpa mereka saya tidak akan berada disini.
"Kita tidak boleh tipu rakyat dan juga mengambil hak rakyat, hak mereka kita perlu pulangkan kepada mereka bukannya menjadi milik kita. Perjuangan kita bukan senang banyak lagi yang kita perlu lalui, disebabkan amanah rakyat perjuang Pakatan Rakyat tidak boleh lari dari landasan yang sebenar.
"Kemenangan di Hulu Selangor adalah isyarat kita untuk menang di Sibu dan juga tangga kita ke Putrajaya sudah semakin hampir," kata beliau di Dewan Kuala Kubu Baharu.
Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali yang juga turut hadir menjelaskan bahawa rakyat perlu sedar apa yang telah Barisan Nasional lakukan kepada negara ini yang membiarkan campur tangan asing.
"Kita mahu rakyat sedar apa yang telah kerajaan lakukan, kita tidak perlu campur tangan Apco dalam pentadbiran negara ini dan BN perlu belajar dari Pakatan Rakyat bagaimana ingin mentadbir negara tanpa campur tangan luar. Lihat bagaimana kita mentadbir negeri Selangor.
"Kita lihat bagaimana perpaduan dalam Pakatan yang mana PAS dan DAP telah memberi persetujuan agar KEADILAN yang membuat keputusan bagi calon pilihan raya kecil ini, kita tidak seperti BN yang berebut hendak meletakkan calon masing-masing.
"Calon yang kita pilih benar-benar komited dan mantap, calon yang boleh bekerja untuk segenap lapisan masyarakat dan kaum. Kemenangan kita pada pilihan raya ini akan membawa kemenangan kita di Sibu nanti dan ini menandakan kita semakin hampir ke Putrajaya," tegasnya.
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menjelaskan kemenangan di Hulu Selangor sebagai tanda untuk Pakatan merampas negeri Melaka.
"Kekuatan jentera yang ada ini dalam mengekalkan kemenangan kita adalah isyarat kepada kita bahawa dengan kekuatan seramai ini kita akan dapat menawan negeri Melaka kerana saya difahamkan saiz Hulu Selangor sebesar negeri Melaka.
"Kemenangan ini juga penting untuk kita, penting untuk rakyat menghalang kezaliman BN dari terus menindas rakyat. Jentera PAS sudah bersedia dari awal lagi untuk membantu kemenangan calon dari KEADILAN dan kita bergerak atas landasan yang sama," jelas beliau.
Ahli Parlimen Kepong yang juga Naib Presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw percaya dengan jentera seramai 3,000 petugas mampu menembusi kubu kuat Umno di setiap ceruk Hulu Selangor.
"Dengan kekuatan ini saya percaya tempat-tempat yang menjadi kubu kuat BN dapat kita tempuh dan serang, dan kemenangan pada 25 April nanti membuktikan bahawa BN tidak lagi menjadi pilihan kepada rakyat.
"Kita tidak perlu menjadi macam Najib dan wakil-wakil rakyat BN yang hanya tahu cakap sahaja, janji setiap kali pilihan raya tetapi tidak ditunaikan. Apa yang kita perlu buat adalah tunaikan apa yang kita cakap kerana itu yang rakyat nak," tegas beliau.
Majlis tersebut yang juga turut dihadiri beberapa Exco kerajaan negeri dan juga ahli-ahli Parlimen telah menguatkan semangat jentera yang tidak sabar untuk memulakan tugas berjuang bagi memastikan PR dapat mewakili rakyat yang memerlukan pembelaan di Hulu Selangor.
Menurut Azmin, hakikatnya rakyat kini telah bijak untuk memilih kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka berdasarkan pertimbangan dan maklumat yang mereka perolehi dari media baru.
"Rakyat hari ini lebih matang, cerdik dan khususnya anak muda boleh buat perbandingan dalam laman web, facebook, twitter, tidak lagi menerima bulat-bulat kenyataan yang dibuat melalui Utusan dan TV3.
"Apabila perbandingan dibuat, pastinya kita dapat menilai siapa yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga keamanan negara dan mengangkat martabat umat dan bangsa kita sendiri," kata beliau pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semalam.
Azmin menyelar kempen Umno yang hanya akan menggunakan modal kempen ketuanan Melayu dengan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat Melayu dan kempen menyerang peribadi.
"Umno hanya boleh hidup dalam pentas politik negara kita dengan memainkan isu kaum, isu agama dan isu peribadi. Itu sahaja senjata yang ada pada mereka," tegas Ahli Parlimen Gombak itu.
Bagaimana pun beliau yakin rakyat tidak mudah terpengaruh dengan segala dakyah, pembohongan dan sogokan yang dilakukan Umno-BN meskipun Pakatan Rakyat berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan.
"Dalam menghadapi pilihan raya kecil kita sebenarnya bukan berhadapan dengan Umno-BN, kita berhadapan dengan seluruh jentera kerajaan pusat dan dari PM sehinggalah menteri kabinet yang turun bukan dengan tangan kosong tetapi dengan janji yang akan ditaburkan termasuk TPM yang berjanji untuk membina empat buah sekolah dalam Hulu Selangor.